Sunday, November 30, 2008

Jadi Seorang Pelajar IPG


Bermula dari 17 November, bermulalah perjalanan hidup saya sebagai seorang pelajar Institut Pendidikan Guru sehinggalah empat tahun lagi bagi mencapai impian sebagai seorang guru yang berijazah. Kami akan berkampung di Kampus IPSAH ini setiap cuti penggal manakala pada waktu persekolahan nanti ada juga tugasan yang diberi oleh pensyarah. Bagi semester pertama ini, cuma ada 4 mata pelajaran iaitu Tamadun Islam Asia, Pendidikan Sumber, English Language Profiency dan Murid Alam Belajar.

Tuesday, November 18, 2008

Mendaftar Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah


Pada 17 November 2008, saya mendaftarkan diri sebagai pelajar Institut Pendidikan Sultan Abdul Halim Sungai Petani. Saya akan mengikuti program ijazah sarjana muda Pendidikan Prasekolah selama 4 tahun dengan mode KDC. Saya dihantar oleh suami, Humaidi, Hazim dan Halimi. Anak-anak yang lain tinggal di rumah Pak Ucunya di Kuala Kangsar.

Peserta kursus yang sama dengan saya adalah seramai 22 orang. Kami diberi masa 2 hari untuk pengurusan. Kuliah akan bermula esok seawal 7.30 pagi dan berakhir 5.30 petang. Masa rehat cuma ada setengah jam pada pukul 10 dan sejam pada waktu tengahari. Walau bagaimana pun saya berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh di samping menunjukkan contoh dan menyalakan semangat anak-anak untuk belajar lebih gigih.

Pada hujung minggu ni saya terpaksa juga balik ke Batang Kali untuk menguruskan beberapa perkara tentang pengajian saya.

Saturday, November 15, 2008

Kunjungan Dari Pengantin Baru

Pada 13 November 2008, kami telah menerima kunjungan dari pengantin baru, Nizwan dan Umairah.

Keputusan UPSR


Keputusan UPSR telah diumumkan pada 13 November 2008. Halimi tidak mendapat keputusan yang memuaskan. Bagaimanapun saya terima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka kerana masih banyak lagi peluang untuk dia berjaya dalam akademik. Untuk tahun hadapan, Halimi dengan rela hati bersetuju untuk bersekolah bersama Hazim di Maahad Al Taufiqiyah Al Diniah di Behrang.

Tahniah diucapkan kepada Fatin (anak Huzir) dan Ammar (anak Huslin) kerana berjaya mencapai 5A dalam UPSR.

Hari Anugerah Kecemerlangan SKKK


Majlis tersebut telah dilangsungkan pada 13 November 2008. Turut diadakan adalah Konvokesyen Prasekolah. Halimi telah menerima hadiah bagi pengawas Pusat Sumber, Kedudukan Ke - 3, terbaik mata pelajaran matematik, sains, agama dan kemahiran hidup serta kehadiran terbaik. Amirul hanya mendapat 1 hadiah iaitu kehadiran terbaik manakala Fatimah tidak mendapat sebarang hadiah. Fatiha pula menyertai konvokesyen prasekolah.


Halimi dan Fatiha turut beraksi dalam persembahan. Halimi dalam persembahan boria manakala Fatiha dalam nyanyian dan gerakan berjaya mencuit hati para penonton.

Pertandingan Pintar Bahasa Prasekolah


Pada 9 November 2008 saya telah membawa seorang murid prasekolah, Airene Dania untuk menyertai pertandingan tersebut bertempat di Hotel Impian Morib. Kami menumpang rakan saya Siti Hawa. Tiba di sana, kami menginap di sebuah hotel kerana pertandingan bermula keesokan harinya. Bagaimanapun, Airene gagal memenangi sebarang hadiah.

Lawatan Sambil Belajar

Pada 11 November 2008, saya membawa rombongan 40 orang murid prasekolah, tahun 1 dan 2 melawat ke Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Zoo Negara.

Lawatan ke Pustaka Peringatan P. Ramlee tidak dapat dilakukan kerana galeri ditutup untuk pengubahsuaian. Bagaimanapun kami masih boleh melawat di bahagian luar galeri dan gerai cenderamata.

Selepas itu kami ke Zoo Negara. Suami saya turut menyertai. Bagaimanapun dia tidak ikut di dalam bas. 3 orang anak saya turut dibawa manakala 3 orang lagi mengikut saya di dalam bas.

Saya dan Fatimah di hadapan kereta milik Allahyarham P. Ramlee.

Saturday, November 8, 2008

Majlis Anugerah KAFA Integrasi Kampung Kuantan

Pagi tadi saya menghadiri majlis tersebut di SRA Kg. Hulu Rening. Halimi turut serta dalam acara khatam qur'an manakala Amirul menyertai persembahan nasyid. Semasa penyampaian hadiah, Fatimah memenangi hadiah untuk pelajaran terbaik iaitu Bahasa Arab dan Akhlak manakala Amirul memenangi kedatangan terbaik.

Friday, November 7, 2008

Musim Sibuk

Di hujung persekolahan seperti ini, sibuknya bukan kepalang. Saya hanya ada satu hari esok untuk menyiapkan tugas-tugas untuk Hari Anugerah Kecemerlangan dan Konvokesyen Prasekolah. Di samping itu, esok pagi saya akan menghadiri Hari Anugerah SRA Kampung Kuantan, iaitu sekolah agama anak-anak saya.

Hari Ahad saya dan seorang murid prasekolah, Airene akan bertolak ke Kuala Langat untuk pertandingan Pintar Bahasa Prasekolah Peringkat Negeri Selangor. Pertandingan akan dijalankan pada hari Isnin 10 November. Namun begitu, kami terpaksa bermalam di sana kerana bimbang tak sempat tiba di tempat pertandingan. Kami akan menumpang kereta rakan saya, Siti Hawa.

Pada 11 November pula, saya akan membawa murid-murid prasekolah melawat ke Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Zoo Negara. Pada 12 November, saya akan sibuk membuat rehearsal untuk persembahan pada Hari Anugerah nanti. Manakala Hari Anugerah dan Konvokesyen Prasekolah akan berlangsung pada 13 November pula. Akhir sekali pada 14 November. saya bercadang nak buat majlis perpisahan untuk murid-murid prasekolah.

Bermulanya cuti pada 15 November bermakna saya akan bersiap untuk ke Sungai Petani untuk berkursus. Mungkin saya akan singgah dulu di Kuala Kangsar rumah Huzir. Entah bila pula masa saya nak berkemas barang-barang untuk ke Sungai Petani?

Wednesday, November 5, 2008

Dapat Tawaran Belajar

Semalam saya mendapat tahu bahawa saya telah terpilih untuk mengikuti Program Pengsiswazahan Guru Sekolah Rendah yang akan dimulakan pada 17 November ini. Kursus dijalankan pada setiap cuti penggal selama 4 tahun. Saya sendiri tidak menyangka mendapat tawaran ini kerana saya difahamkan ramai yang memohon. Bidang yang ditawarkan ialah Prasekolah yang merupakan pilihan pertama saya. Cuma masalahnya tempat kursus tersebut adalah di Institut Perguruan Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah. Buntu juga bila memikirkan perkara tersebut.

Namun hari ini hati saya tambah terbuka. Saya rasa ada hikmahnya saya berkursus di Sungai Petani. Barulah terkenang saya ada sepupu di sana iaitu Abang Zul dan isterinya Kak Siti. Setelah menghubungi Kak Siti tadi hati saya jadi lega. Saya bukanlah pergi ke tempat yang asing. Ada waris di sana. Kebetulan pula anak Kak Siti pun sedang berkursus KPLI di tempat yang sama.

Begitu juga setelah mendengar tentang lokasi IPSAH daripada Cikgu Khairul. Saya rasa perlu berfikiran positif dan mengambil peluang yang diberikan kepada saya.

Terimakasih kepada suami saya yang memberi restu dan sokongan. Semoga segala urusan kita akan dipermudahkan.

Tuesday, November 4, 2008

Hazim Masuk Wad

Petang semalam, 3 November 2008, saya menghantar suami dan Hazim ke hospital Kuala Kubu Bharu untuk berjumpa doktor. Suami saya demam manakala Hazim pula hendak menambah cuti sakit kerana bisul di tapak kaki masih belum sembuh. Saya terkejut kerana doktor menyuruh Hazim masuk wad atas alasan untuk berehat supaya bisul di kaki itu boleh sembuh.

Selepas menghantar Hazim ke dalam wad, kami balik ke rumah untuk mengambil barang-barang keperluan Hazim seperti pakaian, flask air dan lain-lain lagi. Pukul 7.00 malam kami tiba semula ke wad 8. Kami lihat Hazim dimasukkan air antibiotik.

Balik ke rumah tiba-tiba sahaja Fatiha demam. Agaknya dia terkejut melihat abangnya masuk wad, lebih-lebih lagi Fatiha rapat dengan Hazim. Jadi petang ini kami berangkut lagi ke hospital. Selain dari Fatiha, Halimi juga berjumpa dengan doktor kerana kakinya bengkak.

Selepas itu kami ke wad 8 untuk melawat Hazim. Lagi sekali saya terkejut kerana Hazim dah boleh balik ke rumah. Namun begitu saya lega kerana tak perlu lagi berulang ke hospital.

Sunday, November 2, 2008

Musim Sakit

Minggu ini dua kali suami saya menghantar anak ke hospital Kuala Kubu Bharu. Hari Rabu lepas Hazim dihantar ke hospital kerana bisul di tapak kaki. Hingga sekarang belum sembuh lagi dan cadangnya esok nak bawa lagi ke hospital untuk rawatan dan tambahan cuti sakit.

Kemudian pada hari Jumaat pula, Halimi demam. Dia berkeras nak pergi sekolah walaupun saya menyuruh dia rehat di rumah sementara menunggu masa nak pergi hospital. Petang itu kami menghantar Halimi ke hospital. Alhamdulillah sejak semalam dia dah pun sembuh dari demam.

Semalam kami serta 3 orang anak, kedua mertua saya serta Kak Long pergi ke Felda Bukit Serampang Johor untuk menghadiri kenduri doa selamat Mak Lang Bainah yang akan berangkat ke Tanah Suci. Pagi masa nak bertolak itu suami saya memang terasa badannya tidak sihat. Tapi kerana dah berjanji nak pergi, perjalanan diteruskan juga. Saya pun menawarkan diri untuk memandu kalau suami saya tidak sihat. Alhamdulillah kami selamat kembali ke rumah pukul 11.00 malam. Hari ini suami saya pula menyambung demam.