Saturday, June 27, 2009

Seminggu Berlalu

Minggu ini saya masih sibuk dengan keluarga dan sekolah. Belum ada ruang untuk pengajian saya. Padahal saya ada Online Learning dan 2 assignment untuk disiapkan.

Sedikit demi sedikit saya cuba langsaikan kerja-kerja sekolah yang tertangguh. Penilaian murid, minit mesyuarat, minit curai, pendaftaran PIBG, penfailan dan macam-macam lagi. Dengar pula Nazir akan datang mencerap guru cemerlang, saya mengemaskini pula perkara yang perlu dipersembahkan kepada pihak Nazir sekolah.

Di dalam kelas prasekolah pula saya mengambil sedikit masa setiap hari untuk melatih murid bagi pertandingan Nyanyian dan Gerakan pada 4 Julai nanti. Murid-murid saya akan berentap dengan pasukan lain dari Tadika Kemas dan PASTI.

Hari ini 27 Jun 2009 adalah merupakan hari persekolahan bagi menggantikan cuti Hariraya nanti. Saya juga telah menerima keputusan peperiksaan Fatimah dan Amirul. Alhamdulillah keputusannya tidak mengecewakan. Cuma mereka perlu teruskan usaha dan lebih rajin belajar.

Di dalam kelas prasekolah, saya tidak menang tangan melayani ibubapa yang hadir. Daripada 25 orang murid, 19 ibubapa yang hadir. Walaupun tiada peperiksaan, penilaian berterusan dilakukan. Ibubapa juga menyemak portfolio anak.

Sunday, June 21, 2009

Melawat Hazim dan Halimi

Pada sebelah petang pula, kami mengunjungi Hazim dan Halimi di MTD Behrang. Selain dari menghantarkan pakaian mereka yang tertinggal, saya juga berpeluang menjamu mereka dengan kudapan petang serta bekalan nasi dan lauk.

Majlis Ikrar Pelajar dan Motivasi

Pada 21 Jun 2009, sekolah Humaidi mengadakan Majlis Ikrar Pelajar bertempat di Auditorium Dato' Abdul Hamid, Bandar Utama Batang Kali. Turut diadakan Motivasi Pelajar dan Ceramah Keibubapaan. Semoga Humaidi belajar lebih tekun dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM tahun ini.

Mandi Sungai

Semasa saya berada di IPSAH, suami saya mengambil kesempatan membawa anak-anak mandi sungai pada hari dia bercuti. Kasihan juga anak-anak duduk di rumah sahaja semasa cuti dua minggu. Sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk diceritakan kepada kawan-kawan atau guru.



Saturday, June 20, 2009

Program Mesra Rakyat

Pada 20 Jun 2009 saya dan anak-anak berkesempatan untuk menghadiri program tersebut yang dianjurkan oleh KEMAS dan JKKKP Kg. Kuantan. Amirul, Fatimah dan Fatiha turut mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna. Saya sendiri mengambil bahagian dalam Pertandingan Menghias Kek. Saya juga turut melihat demontrasi memasak Chichen Chop. Di bawah ini saya sertakan resepi untuk dikongsi bersama.


Bahan A: Tepung gandum campur dengan sedikit lada sulah dan garam lalu digaul.
Bahan B: Telur campur garam dan lada sulah lalu dipukul.
Bahan C: Serbuk roti

Cara membuatnya: Salutkan kepingan ayam dengan bahan A, seterusnya bahan B dan akhir sekali bahan C. Selepas itu terus goreng ayam dalam minyak yang panas. Sedap dimakan dengan sos lada hitam.



Tandatangan Buku Kemajuan Anak

Pada 19 Jun 2009 saya telah pergi ke KAFA Integrasi Kampung Kuantan bagi menandatangani buku kemajuan Fatimah dan Amirul.

Thursday, June 18, 2009

Menghadiri Cermah Motivasi dan mesyuarat

Pada 17 Jun 2009 saya sebagai setiausaha PIBG sekolah saya berpeluang mendengar ceramah motivasi daripada Tn. Haji Hushim bin Salleh yang merupakan seorang pakar motivasi yang terkenal. Ceramah beliau bertajuk 'Kecemerlangan Sekolah Melalui PIBG'.

Pada sebelah petang pula saya menghadiri mesyuarat pengurusan Karnival Pendidikan Prasekolah Daerah Hulu Selangor bertempat di SK Kuala Kubu Bharu.
Saya bersama Bizahara.

Saturday, June 13, 2009

Leganya Pulang ke Rumah

Alhamdulillah saya selamat kembali ke rumah selepas perjalanan selama 5 setengah jam. Saya memilih bas Maraliner kerana selain dari selesa dan menepati masa, ketika pemandu mengumumkan tentang perjalanan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh penumpang, dia juga turut membacakan doa supaya perjalanan selamat.
Saya mengambil masa sehari untuk berehat dan memulihkan tenaga saya. Selepas itu barulah saya kembali membuat kerja-kerja rumah. Esok 14 Jun saya akan menghantar Hazim dan Halimi balik ke asrama.

Thursday, June 11, 2009

Balik ke Rumah

Lega rasanya kerana hari ini 11 Jun 2009 merupakan hari terakhir kuliah bagi interaksi bulan Jun 2009. Petang ini saya akan menaiki bas untuk balik ke rumah. Mudah-mudahan saya sampai ke rumah dengan selamat.

Bergambar bersama pensyarah yang juga tutor, Pn. Fauzian.

Sesi pembentangan.

Bersama rakan sebilik, Salbiah.

Friday, June 5, 2009

Macam-macam Dugaaan

Kali ini kehadiran saya ke IPSAH menyebabkan anak-anak terpaksa menjadi lebih berdikari. Suami saya baru mula bekerja di tempat baru menyebabkan urusan di rumah terpaksa ditinggalkan kepada anak yang sulung.

Mujurlah anak-anak tak banyak karenah dan menerima sahaja tugasan yang disediakan untuk mereka. Antaranya mereka terpaksa bergilir masak nasi dan membeli lauk di kedai yang terletak tidak jauh dari rumah. Jika kedai tersebut tutup, terpaksalah cari alternatif lain iaitu memasak lauk yang mudah.

Bagaimanapun pada minggu pertama cuti ini Hazim berada di sekolah kerana dia dipilih oleh guru untuk menjadi Fasilitator bagi Kem Tahfiz yang dianjurkan oleh sekolahnya. Minggu kedua apabila Hazim balik ke rumah, Edi pula kena hadir ke sekolah setiap hari untuk menyiapkan kerja kursus PSV.

Semalam suami saya menghubungi menyatakan kemungkinan tidak dapat menjemput Hazim pada waktu yang ditetapkan. Kesian pula dia terpaksa menunggu di asrama.

Wednesday, June 3, 2009

Aktiviti di IPSAH

Jadual di IPSAH sangat padat untuk interaksi dua minggu ini. Bagaimanapun kerana semangat yang kuat, kesibukan bagaikan tidak terasa.

Sebenarnya pagi tadi saya mendapat berita kematian ibu saudara saya di kampung. Bukannya tidak sedih, tapi aktiviti saya hari ini menjadikan saya tidak berpeluang untuk melayan perasaan. Selain dari mengikuti kuliah dan membuat tugasan yang diberi oleh pensyarah, saya juga bertindak sebagai ketua kumpulan. Kemuncak kesibukan saya hari ini bila saya hanya ada masa untuk makan tengahari pada pukul 7.00 malam. Tapi apa yang penting, saya sihat dan boleh bergerak cergas.

Tuesday, June 2, 2009

Kembali Ke IPSAH

Pada 31 Mei 2009 di kala semua warga sekolah sedang menikmati keindahan percutian, saya akan bergelut semula dengan nota-nota kuliah dan kerja kursus di Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah. Saya dijadualkan menaiki bas dari Bandar Baru Batang Kali pada 30 Mei jam 3.00 petang. Malangnya kerana rosak, bas lewat sehingga 2 jam. Suami saya serta dua orang putri saya turut menemani saya menunggu bas.

Hadiah NILAM - Pembaca Terbanyak

Pada 29 Mei 2009 telah diadakan penyampaian hadiah bagi pembaca terbanyak setiap bulan pada bulan September - Oktober 2008 dan Januari - April 2009. Amirul telah memenangi pembaca terbanyak bagi bulan Oktober 2008. Semoga Amirul lebih rajin membaca lagi.

Monday, May 18, 2009

Sambutan Hari Guru

Pada 18 Mei 2009, sekolah saya mengadakan sambutan Hari Guru. Selain dari menjadi Setiausaha sambutan saya juga bertugas sebagai AJK persembahan dan buku program. Berikut adalah gambar-gambar semasa sambutan Hari Guru tersebut.

Amirul dan rakannya Muntasir bertugas mengambil gambar serta rakaman video.

Amirul, Muntasir dan Solehuddin merupakan rakan karib. Mereka bertiga telah menyampaikan sebuah sajak bertajuk 'Guruku'.

Turut diadakan penyampaian hadiah untuk pertandingan mereka kad Hari Ibu. Amirul telah mendapat tempat pertama.


Fatimah turut menyampaikan hadiah kepada guru kelasnya Puan Faezah.

Wednesday, May 6, 2009

Sukan Prasekolah Daerah Hulu Selangor


Pada 6 Mei 2009 saya telah menghadiri Temasya Sukan Prasekolah Daerah Hulu Selangor bertempat di Kompleks Sukan Proton City, Tanjung Malim. Walaupun murid saya tidak mewakili zon namun saya tetap hadir untuk bertugas. Saya telah dihantar oleh suami.

Suami saya mengambil kesempatan untuk bertemu Hazim dan Halimi kerana sekolahnya tidak jauh dari situ. Pagi-pagi lagi saya telah memasak nasi dan lauk untuk dibekalkan kepada Hazim dan Halimi.