Showing posts with label karnival. Show all posts
Showing posts with label karnival. Show all posts

Friday, October 24, 2008

Kisah Di Karnival Pendidikan Prasekolah

Sewaktu di Kuantan tempoh hari, ketika asyik merakam video pertandingan tarian tradisional, saya ternampak kelibat seperti seorang yang saya kenali. Orang itu nampak seperti sepupu yang telah lama tidak saya ketemu iatu Rosli Baharuddin. Tapi saya seperti tidak percaya kerana apa pula urusan Rosli asyik mengambil gambar penari-penari cilik itu. Nak bertanya kepada Kak Nah, kakak Rosli, no telefon tiada dalam simpanan saya.

Bila saya balik ke rumah, setelah mendapatkan no telefon Kak Nah, saya bertanya pada beliau tentang Rosli. Rupa-rupanya orang yang saya nampak itu memang benar Rosli. Anaknya mengambil bahagian dalam pertandingan tarian. Menyesal juga tidak menegur sepupu sendiri. Begitulah kalau dah lama tak jumpa. Sebab itulah semasa balik raya ke Gopeng hari tu saya sibuk minta nombor telefon dan mengedarkan nombor telefon kepada saudara-mara. Saya ingin jalinan silaturrahim yang ada itu tidak terputus.

Thursday, October 23, 2008

Balik Dari Kuantan

Pagi tadi saya bersama kontinjen Selangor bertolak pulang dari Karnival Pendidikan Prasekolah Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama 4 hari di De Rhu Beach Resort, Kuantan. Saya tiba di rumah lebih kurang pukul 4.00 petang.

Di sana saya bertugas merakamkan acara yang disertai oleh peserta Selangor. Agak memenatkan kerana saya terpaksa menginap di Grand Continental Kuantan. Tapi itu semua satu pengalaman yang berharga untuk saya. Lagipun kami balik dengan kejayaan kerana kontinjen Selangor telah berjaya menjadi Johan Keseluruhan! Tahniah kepada semua yang terlibat.

Gambar menunjukkan saya bersama rakan sebilik Nurul Ellia dari SK Sri Petaling yang turut membantu saya dalam tugasan.

Tuesday, October 14, 2008

Latihan Pusat Karnival Prasekolah Kebangsaan

Walaupun saya tidak menghantar wakil untuk Karnival Pendidikan Prasekolah Kebangsaan yang akan berlangsung di Kuantan pada minggu depan, saya telah terpilih sebagai salah seorang guru pengiring. Hari ini saya menghadiri Latihan Pusat yang dijalankan di SK Dato' Onn Jaafar di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15. Terimakasih saya ucapkan kepada suami saya yang menghantar dan sabar menunggu sehingga selesai tengahari tadi.

Saya dimaklumkan Kontinjen Selangor akan bertolak dari Jabatan Pelajaran Selangor pada pukul 9.30 pagi 20 Oktober 2008 dan balik pada pagi 23 Oktober.