Friday, March 13, 2009

Balik Ke IPSAH

Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan pertengahan semester 1 di mana mulai esok sekolah akan bercuti selama 9 hari. Bagi saya, ini bermakna saya harus kembali ke IPSAH untuk meneruskan pengajian saya. Tengahmalam ini saya akan naik bas ekspress dengan 3 orang rakan lagi menuju ke Sungai Petani. Insyaallah kami akan tiba lebihkurang jam 5 pagi. Kuliah akan bermula jam 4.00 petang. Alhamdulillah di saat akhir saya berjaya menyiapkan assignment. Selain dari kuliah setiap hari, saya juga akan menghadapi 2 kertas ujian dan 2 peperiksaan. Semoga saya sihat dan mampu untuk meneruskan perjuangan ini.

Tuesday, March 10, 2009

Sambutan Harijadi Fatimah dan Fatiha

Hari ini genap 6 tahun usia Fatiha manakala kakaknya 8 tahun pada 2 hari lalu.
Selamat harijadi, anak-anakku, semoga panjang umur, murah rezeki dan sihat sejahtera!

Monday, March 9, 2009

Berbudi Pada Tanah

Semasa berada di Gopeng, kami mengambil kesempatan untuk menanam serai yang kami sengaja bawa dari rumah. Hasrat hati kami agar tanah peninggalan Allahyarham ayah saya dapat dimanafaatkan. Tanahnya agak luas dan sesuai untuk pertanian. Sebenarnya tanah tersebut telah dipindahmilik kepada adik bongsu saya tapi dia sendiri tidak menetap di situ. Yang tinggal di situ adalah abang saya yang sulung. Pada dialah kami harapkan supaya dapat mengerjakan tanah tersebut. Tanaman serai ini untuk permulaan sahaja. Nanti bolehlah tambah tanaman yang lain pula.

Hari Sukan Sekolah Hazim dan Halimi

Pada hari Ahad 8 Mac 2009, kami sekeluarga telah ke Behrang untuk menyaksikan sukan tahunan sekolah Hazim dan Halimi. Selepas sukan dan makan tengahari di sekolah tersebut, kami membawa mereka ikut balik ke kampung saya di Gopeng, Perak.

Hazim dan Halimi dalam acara berjalan atas bata.

Suami saya turut mengambil bahagian dalam acara tarik tali.

Sunday, March 1, 2009

Hazim dan Halimi Balik ke Rumah

Pada 26 Februari, Hazim dan Halimi telah balik ke rumah. Alhamdulillah sepanjang 4 hari mereka di rumah, saya melihat ada perkembangan yang positif kesan dari bersekolah di Maahad At-Taufikiyah. Terutama Halimi, perubahannya memang amat ketara. Dia tidak lagi asyik mengusik adik-adiknya. Tidak lagi suka marah-marah, menjerit, memaki-maki adik-beradiknya.

Di sekolah tersebut juga mereka ada belajar komputer. Mereka dah buat email masing-masing. Malahan Halimi telah membina blognya sendiri.

Pada 13 - 15 Mac 2009 nanti, Hazim akan mewakili sekolahnya ke Pertandingan Catur di Alor Setar, Kedah.

Minggu depan pula kami akan datang lagi ke Behrang untuk menghadiri sukan tahunan sekolah mereka yang diadakan di padang sekolah rendah yang berdekatan.

Thursday, February 26, 2009

Kursus Asas Penyelidikan Kualitatif

Pada 24 - 26 Feruari 2009 saya telah menghadiri kursus tersebut di SK Ulu Yam Bharu. Turut hadir sebagai peserta adalah GPK Pentadbiran SKKK iaitu Ustazah Noor Aine. Alhamdulillah saya berjaya menamatkan kursus 3 hari tersebut walaupun pada hakikatnya saya kurang sihat. Setiap hari saya terpaksa ke Klinik Ulu Yam untuk diambil tekanan darah. Tiga hari kursus itu menyaksikan kenaikan bacaan tekanan darah saya, padahal rasanya saya telah cukup bertenang, cukup rehat dan jaga makan.

Tuesday, February 24, 2009

Kursus Pengurusan Fail

Pada 21 Februari 2009, saya telah mengikuti Kursus Pengurusan Fail bertempat di SK Kerling.

Amirul Mengikuti Kursus Kepimpinan

Pada 21 Februari 2009, Amirul telah mengikuti Kursus Kepimpinan yang diadakan untuk pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan ketua kelas.

Thursday, February 19, 2009

Lawatan Kerja Ke Tanjung Sepat

Pada 18 Februari 2009, saya telah mengikuti lawatan kerja bersama-sama guru prasekolah Hulu Selangor ke SK Tanjung Sepat, Daerah Kuala Langat.

Sunday, February 15, 2009

Mesyuarat Agung PIBG SK Kampung Kuantan

Pada hari Ahad 15 Februari 2009, saya dan suami saya telah menghadiri mesyuarat tersebut. Mesyuarat berjalan dengan lancar seperti mana yang dirancang. Saya telah dilantik semula sebagai Setiausaha PIBG manakala suami saya turut dilantik sebagai AJK.
Berita lanjut sila klik di sini.

Ubat Demam

Balik dari mesyuarat Guru Cemerlang, saya rasa macam nak demam. Saya tahu saya kena sihatkan diri sebab hari Ahad nanti saya kena bersedia dengan Mesyuarat Agung PIBG di mana saya menjadi Setiausaha. Selain itu, saya juga memangku sementara tugas Bendahari PIBG yang telah bertukar sekolah. Saya telan ubat demam, saya mandi beberapa kali untuk menyejukkan badan. Dan usaha terakhir saya tuam badan saya dengan ais. Tapi sehingga petang Sabtu masih lagi demam.

Bagaimanapun sebab telah berjanji untuk melawat Hazim dan Halimi di Behrang, saya ikut juga sambil membawa sebungkus ketul-ketul ais yang saya bungkus dalam tuala. Sepanjang perjalanan saya tuam ais tersebut pada kepala dan tubuh saya untuk mengurangkan panas.

Berjumpa dengan Hazim dan Halimi, terubat rasa rindu. Waktu balik, buat pertama kali dalam bertahun-tahun yang saya ingat, saya cium pipi Halimi. Saya peluk dia. Menitis airmata saya bila dia tidak menolak. Anak saya yang seorang itu memang dari dulu tidak suka disentuh dan dipeluk, apalagi dicium.

Sampai di rumah, tiba-tiba saya rasa telah sihat seperti sediakala. Mungkinkah ciuman dan pelukan tadi ubat mujarab yang telah menyembuhkan saya?

Menghadiri Mesyuarat Pentadbiran dan Pemanduan Guru Cemerlang

Pada 13 Februari 2009 saya telah menghadiri mesyuarat tersebut. Sebenarnya pada tahun lepas saya telah diberi tawaran pemangkuan sebagai guru cemerlang, dan sepatutnya ada Jemaah Nazir yang akan memantau kerja-kerja saya sebelum diberi pengesahan sebagai guru cemerlang. Bagaimanapun kerana sibuk dengan tugas-tugas harian di sekolah, saya tidak membuat sebarang persediaan 'luarbiasa' untuk menerima kedatangan mereka. Saya sendiri semacam fobia untuk mengistiharkan kepada sesiapa bahawa saya ini adalah guru cemerlang.

Dengan menghadiri mesyuarat ini, saya dapat gambaran apa yang dikehendaki oleh Jemaah Nazir, dan saya akan cuba usahakan sedikit demi sedikit.

Wednesday, February 4, 2009

Gotong-Royong di Prasekolah

Pada 4 Februari 2009 suami saya telah menyertai gotong-royong di taman prasekolah.

Kelihatan Fatiha dan abahnya menanam lengkuas.

Tuesday, February 3, 2009

Pertandingan Merentas Desa Hulu Selangor

Pada 3 Februari 2009, saya selaku pengurus peserta rentas desa sekolah telah membawa 9 orang murid ke Pertandingan Merentas Desa Peringkat Daerah Hulu Selangor bertempat di Stadium Millanium Ampang Pecah. Peserta SKKK gagal mendapat sebarang hadiah atau saguhati.

Bergambar bersama peserta perempuan.

Berjumpa kembali dengan rakan sekursus semasa di MPI Bangi tahun 2002, Chek Norila.

Suami Menghadiri Kursus

Pada 31 Januari 2009 yang lalu, suami saya telah menghadiri kursus penanaman serai secara komersil di Sepang.