Thursday, October 30, 2008

Persembahan Di Hari Qualiti PPD Hulu Selangor

Semalam, (29 Oktober 2008), saya membawa 13 orang murid prasekolah dan tahun 1 untuk mengadakan persembahan di majlis Hari Qualiti bertempat di Auditorium Akademi Bomba Kuala Kubu Bharu. Kami bertolak pada pukul 12 tengahari untuk latihan di pentas kerana persembahan akan diadakan lebihkurang pukul 3.00 petang, selepas ucapan perasmi.

Persembahan murid-murid ini mendapat tepukan yang gemuruh. Dua anak gadis saya, Fatiha dan Fatimah turut mengambil bahagian. Bagi Fatiha, ini pertama kali dia beraksi di atas pentas, mujur dia tidak takut dan gabra.

Fatiha berdiri di belakang, sebelah saya manakala Fatimah, belakang 3 dari kiri.

Saturday, October 25, 2008

Cuti Deepavali

Pukul 9.00 pagi kami telah bertolak ke Behrang untuk menjemput Hazim (gambar sebelah) dari asrama. Esok, Husni akan datang ke rumah. Begitu juga kawan saya Mahani dari Sungai Tengi telah menelefon untuk datang ke rumah.

Selain itu saya juga dapat jemputan dari beberapa orang rakan. Namun jemputan itu tidak dapat saya penuhi kerana kesibukan. Bagaimanapun saya akan cuba memenuhi jemputan Siti Hawa pada hari Isnin kerana lama benar tak bertemu dia sejak dia berkursus 14 minggu.

Saya sibuk menguruskan kostum yang akan dipakai oleh murid prasekolah dan tahun 1 dalam persembahan pada Hari Qualiti PPD Hulu Selangor. Majlis tersebut akan diadakan pada 29 Oktober 2008. Turut sama dalam persembahan itu adalah anak-anak gadis saya Fatimah dan Fatiha. Majlis tersebut dijadualkan akan dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Selangor Pn Ashah Samah. Bagaimanapun saya difahamkan Pn Ashah baru sahaja bertukar ke jawatan baru. Mungkin yang akan datang nanti Pengarah Pelajaran Selangor yang baru atau wakilnya.

Friday, October 24, 2008

Kisah Di Karnival Pendidikan Prasekolah

Sewaktu di Kuantan tempoh hari, ketika asyik merakam video pertandingan tarian tradisional, saya ternampak kelibat seperti seorang yang saya kenali. Orang itu nampak seperti sepupu yang telah lama tidak saya ketemu iatu Rosli Baharuddin. Tapi saya seperti tidak percaya kerana apa pula urusan Rosli asyik mengambil gambar penari-penari cilik itu. Nak bertanya kepada Kak Nah, kakak Rosli, no telefon tiada dalam simpanan saya.

Bila saya balik ke rumah, setelah mendapatkan no telefon Kak Nah, saya bertanya pada beliau tentang Rosli. Rupa-rupanya orang yang saya nampak itu memang benar Rosli. Anaknya mengambil bahagian dalam pertandingan tarian. Menyesal juga tidak menegur sepupu sendiri. Begitulah kalau dah lama tak jumpa. Sebab itulah semasa balik raya ke Gopeng hari tu saya sibuk minta nombor telefon dan mengedarkan nombor telefon kepada saudara-mara. Saya ingin jalinan silaturrahim yang ada itu tidak terputus.

Thursday, October 23, 2008

Balik Dari Kuantan

Pagi tadi saya bersama kontinjen Selangor bertolak pulang dari Karnival Pendidikan Prasekolah Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama 4 hari di De Rhu Beach Resort, Kuantan. Saya tiba di rumah lebih kurang pukul 4.00 petang.

Di sana saya bertugas merakamkan acara yang disertai oleh peserta Selangor. Agak memenatkan kerana saya terpaksa menginap di Grand Continental Kuantan. Tapi itu semua satu pengalaman yang berharga untuk saya. Lagipun kami balik dengan kejayaan kerana kontinjen Selangor telah berjaya menjadi Johan Keseluruhan! Tahniah kepada semua yang terlibat.

Gambar menunjukkan saya bersama rakan sebilik Nurul Ellia dari SK Sri Petaling yang turut membantu saya dalam tugasan.

Tuesday, October 14, 2008

Latihan Pusat Karnival Prasekolah Kebangsaan

Walaupun saya tidak menghantar wakil untuk Karnival Pendidikan Prasekolah Kebangsaan yang akan berlangsung di Kuantan pada minggu depan, saya telah terpilih sebagai salah seorang guru pengiring. Hari ini saya menghadiri Latihan Pusat yang dijalankan di SK Dato' Onn Jaafar di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15. Terimakasih saya ucapkan kepada suami saya yang menghantar dan sabar menunggu sehingga selesai tengahari tadi.

Saya dimaklumkan Kontinjen Selangor akan bertolak dari Jabatan Pelajaran Selangor pada pukul 9.30 pagi 20 Oktober 2008 dan balik pada pagi 23 Oktober.

Monday, October 13, 2008

Latihan Kompang

Pagi ini SK Kg. Kuantan ada Program Rimup yang bertemakan kebudayaan iaitu kompang. Amirul berpeluang menyertai program ini dan mempelajari seni paluan kompang. Di akhir program diadakan pertandingan bagi setiap kumpulan. Kumpulan Amirul berjaya mendapat tempat kedua.

Saturday, October 11, 2008

Amirul dan Halimi Mengikuti Perkhemahan


Sejak dari semalam Amirul dan Halimi mengikuti perkhemahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Cadangan asal untuk berkhemah di padang sekolah tidak kesampaian kerana hujan turun dengan lebatnya. Murid-murid lelaki tidur dalam khemah yang diletakkan di koridor kelas manakala murid perempuan tidur di dalam surau sekolah.


Pagi tadi pula Fatimah mengikuti Kem Bestari Solat di sekolah. Kesemua mereka pulang ke rumah menjelang pukul 2 petang. Petang itu masing-masing dah kepenatan. Saya juga tidak terkecuali.

Tuesday, October 7, 2008

Cuti Raya Berakhir

Semalam hari pertama bersekolah semula selepas cuti hariraya. Murid-murid pun ramai yang tak hadir. Mungkin masih beraya lagi. Selepas sekolah, kami dikunjungi oleh Kak Lang, Alang serta anak-anaknya, Shimah sekeluarga dan Zura sekeluarga. Tidak ketinggalan Ayu, Hidir, Fiza dan Hafiz.
Petang itu juga, kami menerima kunjungan kawan-kawan Fatimah dan Amirul.

Sunday, October 5, 2008

Selamat Pengantin Baru Nizwan - Umairah

Semalam kami sekeluarga turut serta dalam rombongan pengantin ke Pegoh, Melaka. Selamat Pengantin Baru diucapkan kepada pasangan pengantin Nizwan dan Umairah, semoga jodoh berkekalan.
InsyaAllah pada 29 November nanti kami akan membuat rombongan pengantin ke Seberang Jaya Pulau Pinang bagi memeriahkan perkahwinan adik Nizwan, iaitu Nazrul. Kami telah menyewa sebuah bas sekolah bagi tujuan tersebut.
Manakala kenduri sebelah pihak lelaki pula akan diadakan pada 28 Disember 2008 bertempat di rumah baru Kak Long di Bukit Belacan, Ampang.

Thursday, October 2, 2008

Dua Syawal

Cadangan asal untuk keluar rumah pagi-pagi tidak kesampaian dan kami keluar rumah dalam pukul 11.00 pagi. Kami beraya di rumah kawan saya, Puziah Ano di Tanjung Malim, dan selepas itu menuju ke kampung saya. Jalanraya boleh tahan. Tidak terlalu sesak. Cuma banyak kereta terpaksa berbaris hampir pekan Bidor dan Tapah.
Selepas singgah sebentar di rumah aruah ayah untuk menyidai pakaian baru basuh yang kami bawa, kami pun beraya di sekitar. Antaranya rumah Wah, Acu, Ayang, Uci Alang dan Pak Itam. Jiran terdekat, Ninik Hasim baru meninggal petang semalam. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Wednesday, October 1, 2008

Sambutan Hariraya

1 Syawal, ketika ramai orang beraya di kampung masing-masing, kami sekeluarga masih di Kampung Kuantan. Pagi tu, kami sempat melayani beberapa kumpulan yang datang beraya ke rumah sebelum bertolak ke rumah adik ipar saya Norzaini di Ampang. Kami ke rumahnya kerana ibu dan bapa mertua saya berada di sana. Sampai di sana Kak Long sekeluarga telah pun ada. Hanya sebuah rumah sahaja kami beraya. Suasananya bukan macam kat kampung di mana rumah saudara-mara ada di sekeliling.
Esok pagi kami merancang hendak balik ke kampung saya di Gopeng. Walaupun orang tua telah meninggal, namun saya mempunyai ramai saudara mara yang tinggal sekitar Gopeng. Sebelum itu, kami merancang hendak ke rumah kawan saya di Tanjung Malim dan ke rumah Ustazah anak-anak saya di Felda Trolak.
Pada hari Sabtu nanti kami akan menghantar rombongan pengantin ke Melaka. Manakala hari Ahad pula akan menghantar Hazim balik ke asrama.