Sunday, September 27, 2009

Episod Cemas

Hari ini 25 September 2009, suami saya mula bekerja. Kami semua tinggal di rumah Serendah kecuali Edi yang berdegil nak tinggal di Kampung Kuantan seorang diri. Walaupun tanpa komputer dan set TV, anak-anak saya seronok tinggal di rumah yang tanpa perabot. Cuma ada rak dapur gas, meja makan dan almari dapur.

Pada pukul 2.00 ptg tiba-tiba Halimi dan Amirul turun memberitahu saya bahawa Hazim, Fatimah dan Fatiha terkunci di dalam bilik utama. Setelah memeriksa sendiri, memang pasti pintu tidak dapat dibuka walaupun dengan kunci. Pada mulanya Fatiha menangis kerana ketakutan.

Setelah mendapat nombor telefon seorang pekerja kontrak Indonesia, saya menghubungi beliau. Mujurlah dia mahu datang menolong. Susah juga nak membuka pintu tersebut. Walaupun tombol pintu dah ditanggalkan, pintu masih tidak dapat dibuka. Erman, pekerja Indon itu sampai tiga kali naik memanjat bumbung untuk masuk ikut tingkap bilik.

Akhirnya setelah dua jam, barulah anak-anak saya dapat keluar dari bilik tersebut. Leganya hati saya.

Raya Ke Lima

Rasanya hari raya ke lima ini adalah hari akhir kami berjalan raya. Ini kerana suami saya mula bekerja pada raya ke enam. Pada hari ini kami ada jemputan di rumah Abang Ariff di Kampung Delek, Klang. Saya mengambil kesempatan untuk menghubungi dua pupu saya iaitu Dhalan yang tinggal di Sungai Udang, Klang. Memang telah lama saya tidak berjumpa dengannya. Kami singgah sebentar di rumah Dhalan sebelum ke rumah Abang Ariff. Malangnya kami tidak dapat bertemu isteri Dhalan kerana bekerja.

Selepas beraya ke rumah Abang Ariff kami ke rumah Zie di Taman Kapar Indah. Akhir sekali, Abang Ariff, Zie dan Kak Long sekeluarga datang beraya ke rumah kami di Serendah Makmur. Malam itu buat pertama kami, kami tidur di Serendah Makmur.

Wednesday, September 23, 2009

Raya Keempat

Tahun ini kami beraya sungguh. Kami lebih banyak menziarahi keluarga dan rakan-rakan. Hari ini kami ke Sungai Besar melalui jalan Sungai Panjang. Malang sungguh kerana tayar pancit di Sungai Panjang dan spanar pula tertinggal di rumah. Mujur saya dapat meminjam spanar dari kedai runcit berdekatan. Mula-mula kami ke rumah rakan PGSR saya iaitu Rafeah. Selepas itu ke Peket 100 iaitu kampung kepada biras saya.

Selepas membetulkan tayar van di bengkel, kami meneruskan perjalanan ke rumah Nita di Taman Intan Emas, Teluk Intan. Nampaknya bandar Teluk Intan membangun dengan pesat sekali berbanding dengan kali akhir saya ke sana. Akhir sekali kami mengunjungi Wan Teh, rakan PGSR saya.

Perjalanan tergendala kerana tayar pancit.

Di kampung Izhar, Peket 100.

Bersama Nita serta anak yang diasuhnya. Turut bersama ialah Siti, isteri Jo.

Bersama keluarga Wan Teh. Sebenarnya keluarga Wan Teh besar, tetapi anak-anaknya malu untuk bergambar sama.

Hari Ketiga

Pada hariraya ketiga barulah kami berkunjung ke rumah adik-beradik suami saya di sekitar Ampang.

Mula-mula ke rumah Zai di mana ibu dan bapa mertua saya berada. Selepas itu ke rumah Kak Long.


Apabila balik ke rumah, Kak Ngah sekeluarga pula mengunjungi kami.

Hari Kedua

Pada hariraya kedua saya serta adik-beradik dan keluarga masing-masing meneruskan pencarian saudara-mara yang telah lama tidak kami jumpai. Di Chemor kami berpeluang bertemu dengan Kak Faridah dan Kak Haloi sekeluarga. Memang telah lama kami tidak bertemu. Setelah itu kami singgah di rumah Kak Mah, Abang Nan dan emak tiri saya. Selepas itu kami meneruskan perjalanan balik ke Batang Kali.

Huslin, Kak Faridah dan suami.


Banyak cerita bila saya bertemu kembali dengan Kak Haloi.

Kak Mah dan anaknya.


Di rumah abang Nan.

Di rumah emak tiri saya.

Sunday, September 20, 2009

Aidilfitri Yang Meriah

1 Syawal tahun ini menyaksikan kami berempat beradik berkumpul di rumah Huzir. Husni tiada bersama kerana dia beraya di rumah mertua. Pada hariraya kali ini kami mengambil kesempatan untuk mencari saudara-mara Allahyarham ayah saya sekitar Kuala Kangsar. Kami berpeluang mengunjungi 2 keluarga yang telah lama tidak saya kunjungi. Kalau tidak mencari bermakna terputuslah silaturrahim yang telah terbina. Padahal mereka bukan orang lain, sepupu kepada Allahyarham ayah saya.

Rasanya ini pertama kali kami dapat bergambar sekeluarga. Selalunya sebelum ini bila kami nak bergambar sekeluarga, Halimi akan menghilangkan diri.

Keluarga Huzir.

Keluarga Huslin.

Rumah Mak Ngah Esah yang sempat kami kunjungi.

Saturday, September 19, 2009

Menanti Syawal di Kuala Kangsar

Tengahari tadi kami selamat sampai di rumah Huzir. Kami turut membawa abang saya yang sulung yang kami jemput di Gopeng. Di rumah Huzir kami membuat persiapan untuk Aidilfitri.


Huzir, suami saya serta anak-anak sibuk mengisikan pulut ke dalam sarung ketupat untuk hidangan di pagi raya.


Sunday, September 13, 2009

Menjelang Aidilfitri

Hari ini seminggu lagi menjelang Aidilfitri. Hazim dan Halimi sejak semalam telah ada di rumah. Saya dan suami mengambil kesempatan untuk membawa anak-anak ke Rawang untuk membeli baju raya mereka. Kami berbelanja paling minimum sebagai langkah berjimat-cermat. Kami tidak mengambil masa yang lama kerana bimbang Fatiha penat kerana berpuasa. Saya berharap Fatiha akan dapat berpuasa penuh pada tahun seperti kakak dan abang-abangnya.

Dalam perjalanan balik, kami singgah dulu di Serendah Makmur untuk memeriksa grill yang baru dipasang di rumah baru kami. Banyak lagi yang perlu dibereskan sebelum boleh duduk di sana. Saya jangkakan hujung bulan Disember nanti barulah kami akan pindah sepenuhnya, Insyaallah.

Saturday, September 5, 2009

Salam Ramadhan


Salam Ramadhan diucapkan kepada semua pengunjung blog ini. Semoga amalan kita diterima dan diberkati. Ramadhan kali ini saya bersyukur kerana badan sihat dan cergas untuk menunaikan kewajipan berpuasa. Anak-anak pun semuanya dapat berpuasa termasuklah anak saya yang bongsu Fatiha. Tiada masalah langsung untuk Fatiha berpuasa tahun ini kerana dia telah mula berpuasa pada tahun lepas. Mudah-mudahan semua anak-anak saya dapat berpuasa penuh.

Tuesday, September 1, 2009

Hari Yang Padat Di IPSAH

Akhirnya, dapat juga saya menyiapkan kerja kursus yang perlu dibuat secara individu. Satu lagi kerja kursus saya berpasangan dengan Salbiah. Dapat juga disiapkan pada waktu yang ditetapkan. Cuma agak segan sikit sebab terpaksa tumpang print dengan rakan lain disebabkan dakwat printer Salbiah kekeringan. Selain dari itu ada beberapa hasil kerja kumpulan yang juga perlu disiapkan dan dihantar sebelum balik.

Kami balik ke rumah masing-masing pada 27 Ogos berbekalkan tiga kerja kursus yang perlu dibuat secara kumpulan. Dua daripadanya perlu dihantar pada bulan Oktober manakala satu lagi pada bulan November. InsyaAllah saya akan cuba sebaik mungkin untuk hasilan yang lebih bagus.

Monday, August 24, 2009

Kuliah di IPSAH

Pada 23 Ogos 2009, kuliah saya di IPSAH bermula selama 5 hari. Suasananya lain sedikit kerana ini pertama kali kami berkuliah dalam suasana Ramadhan. Alhamdulillah saya sihat dan tiada masalah kesihatan untuk menghadiri kuliah dan menyiapkan kerja kursus yang perlu dihantar pada 27 Ogos 2009.


Tuesday, August 18, 2009

Dapat Kunci Rumah Baru

Pada 15 Ogos 2009, saya telah menerima kunci bagi rumah baru kami di Serendah Makmur. Selepas mengambil kunci, kami masuk ke rumah bagi memeriksa dan melaporkan kerosakan.

Memeriksa tingkap bagi memastikan ia berkeadaan baik.

Fatimah dan Fatiha seronok kerana akan dapat sebuah bilik yang dikongsi berdua.

Wednesday, August 12, 2009

Menjemput Hazim dan Halimi dari asrama

Petang semalam saya dapat panggilan dari Halimi mengatakan Hazim demam dan ingin pulang ke rumah. Perasaan keibuan menggamit saya untuk terus bersiap untuk menjemputnya. Saya juga mengerahkan Edi untuk turut bersama. Kalau nak tunggu suami saya, malam baru boleh pergi menjemput.

Sampai di sana, saya lega bila mendapati badan Hazim tidak panas. Mungkin perasaannya saja yang 'demam' melihat kawan-kawan seorang demi seorang balik dijemput oleh keluarga akibat demam. Saya mendapati sesi pembelajaran di sekolah pun tidak dapat dilaksanakan kerana pelajar yang tinggal terlalu sedikit. Selepas bercakap dengan Tuan Pengetua, saya pun membawa kedua beradik ini balik.

Friday, August 7, 2009

Kem 1 Malaysia

Berikut adalah gambar-gambar Amirul semasa mengikuti kem tersebut.




Tuesday, August 4, 2009

Amirul Menerima Sijil Penyertaan Kem 1Malaysia

Pada 3 Ogos 2009, Amirul dan 9 orang rakannya telah menerima sijil atas penyertaannya dalam Kem 1Malaysia di Tanjung Karang. Kem 4 hari telah dijalankan pada 27 hingga 30 Julai 2009. Saya berbangga kerana Amirul terpilih menjadi duta kecil sekolah. Syabas Amirul!