Pada minggu lepas SK Kg Kuantan telah menjalankan Minggu Sains dan Matematik di mana banyak pertandingan yang telah dianjurkan. Fatimah turut memenangi tempat kedua dalam pertandingan yang dijalankan. Dia dan Amirul turut memenangi hadiah bagi pertandingan Eksplorace. Sebagai seorang ibu, saya menggalakkan anak-anak saya agar berani mencuba sebarang aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Monday, June 29, 2009
Melawat Rumah Baru
Sebelah petang, saya dan suami serta Fatiha melawat rumah kami di Serendah Makmur yang telah siap, cuma menunggu CF sahaja. Dari luar rumah kelihatan bahagian dalam sudah dibersihkan. Cermin tingkap, paip dan singki telah dipasang. Jalan tar juga telah siap. Seronok rasanya mengenangkan kami akan duduk di rumah sendiri sekali lagi.
Saturday, June 27, 2009
Seminggu Berlalu
Minggu ini saya masih sibuk dengan keluarga dan sekolah. Belum ada ruang untuk pengajian saya. Padahal saya ada Online Learning dan 2 assignment untuk disiapkan.
Sedikit demi sedikit saya cuba langsaikan kerja-kerja sekolah yang tertangguh. Penilaian murid, minit mesyuarat, minit curai, pendaftaran PIBG, penfailan dan macam-macam lagi. Dengar pula Nazir akan datang mencerap guru cemerlang, saya mengemaskini pula perkara yang perlu dipersembahkan kepada pihak Nazir sekolah.
Di dalam kelas prasekolah pula saya mengambil sedikit masa setiap hari untuk melatih murid bagi pertandingan Nyanyian dan Gerakan pada 4 Julai nanti. Murid-murid saya akan berentap dengan pasukan lain dari Tadika Kemas dan PASTI.
Hari ini 27 Jun 2009 adalah merupakan hari persekolahan bagi menggantikan cuti Hariraya nanti. Saya juga telah menerima keputusan peperiksaan Fatimah dan Amirul. Alhamdulillah keputusannya tidak mengecewakan. Cuma mereka perlu teruskan usaha dan lebih rajin belajar.
Di dalam kelas prasekolah, saya tidak menang tangan melayani ibubapa yang hadir. Daripada 25 orang murid, 19 ibubapa yang hadir. Walaupun tiada peperiksaan, penilaian berterusan dilakukan. Ibubapa juga menyemak portfolio anak.
Sunday, June 21, 2009
Melawat Hazim dan Halimi
Mandi Sungai
Saturday, June 20, 2009
Program Mesra Rakyat
Pada 20 Jun 2009 saya dan anak-anak berkesempatan untuk menghadiri program tersebut yang dianjurkan oleh KEMAS dan JKKKP Kg. Kuantan. Amirul, Fatimah dan Fatiha turut mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna. Saya sendiri mengambil bahagian dalam Pertandingan Menghias Kek. Saya juga turut melihat demontrasi memasak Chichen Chop. Di bawah ini saya sertakan resepi untuk dikongsi bersama.
Bahan A: Tepung gandum campur dengan sedikit lada sulah dan garam lalu digaul.
Bahan B: Telur campur garam dan lada sulah lalu dipukul.
Bahan C: Serbuk roti
Cara membuatnya: Salutkan kepingan ayam dengan bahan A, seterusnya bahan B dan akhir sekali bahan C. Selepas itu terus goreng ayam dalam minyak yang panas. Sedap dimakan dengan sos lada hitam.
Labels:
Amirul,
catatan,
Fatiha,
Fatimah,
Pertandingan
Thursday, June 18, 2009
Menghadiri Cermah Motivasi dan mesyuarat
Pada 17 Jun 2009 saya sebagai setiausaha PIBG sekolah saya berpeluang mendengar ceramah motivasi daripada Tn. Haji Hushim bin Salleh yang merupakan seorang pakar motivasi yang terkenal. Ceramah beliau bertajuk 'Kecemerlangan Sekolah Melalui PIBG'.
Pada sebelah petang pula saya menghadiri mesyuarat pengurusan Karnival Pendidikan Prasekolah Daerah Hulu Selangor bertempat di SK Kuala Kubu Bharu.
Saya bersama Bizahara.
Saturday, June 13, 2009
Leganya Pulang ke Rumah
Alhamdulillah saya selamat kembali ke rumah selepas perjalanan selama 5 setengah jam. Saya memilih bas Maraliner kerana selain dari selesa dan menepati masa, ketika pemandu mengumumkan tentang perjalanan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh penumpang, dia juga turut membacakan doa supaya perjalanan selamat.
Saya mengambil masa sehari untuk berehat dan memulihkan tenaga saya. Selepas itu barulah saya kembali membuat kerja-kerja rumah. Esok 14 Jun saya akan menghantar Hazim dan Halimi balik ke asrama.
Thursday, June 11, 2009
Balik ke Rumah
Lega rasanya kerana hari ini 11 Jun 2009 merupakan hari terakhir kuliah bagi interaksi bulan Jun 2009. Petang ini saya akan menaiki bas untuk balik ke rumah. Mudah-mudahan saya sampai ke rumah dengan selamat.
Friday, June 5, 2009
Macam-macam Dugaaan
Kali ini kehadiran saya ke IPSAH menyebabkan anak-anak terpaksa menjadi lebih berdikari. Suami saya baru mula bekerja di tempat baru menyebabkan urusan di rumah terpaksa ditinggalkan kepada anak yang sulung.
Mujurlah anak-anak tak banyak karenah dan menerima sahaja tugasan yang disediakan untuk mereka. Antaranya mereka terpaksa bergilir masak nasi dan membeli lauk di kedai yang terletak tidak jauh dari rumah. Jika kedai tersebut tutup, terpaksalah cari alternatif lain iaitu memasak lauk yang mudah.
Bagaimanapun pada minggu pertama cuti ini Hazim berada di sekolah kerana dia dipilih oleh guru untuk menjadi Fasilitator bagi Kem Tahfiz yang dianjurkan oleh sekolahnya. Minggu kedua apabila Hazim balik ke rumah, Edi pula kena hadir ke sekolah setiap hari untuk menyiapkan kerja kursus PSV.
Semalam suami saya menghubungi menyatakan kemungkinan tidak dapat menjemput Hazim pada waktu yang ditetapkan. Kesian pula dia terpaksa menunggu di asrama.
Wednesday, June 3, 2009
Aktiviti di IPSAH
Jadual di IPSAH sangat padat untuk interaksi dua minggu ini. Bagaimanapun kerana semangat yang kuat, kesibukan bagaikan tidak terasa.
Sebenarnya pagi tadi saya mendapat berita kematian ibu saudara saya di kampung. Bukannya tidak sedih, tapi aktiviti saya hari ini menjadikan saya tidak berpeluang untuk melayan perasaan. Selain dari mengikuti kuliah dan membuat tugasan yang diberi oleh pensyarah, saya juga bertindak sebagai ketua kumpulan. Kemuncak kesibukan saya hari ini bila saya hanya ada masa untuk makan tengahari pada pukul 7.00 malam. Tapi apa yang penting, saya sihat dan boleh bergerak cergas.
Tuesday, June 2, 2009
Kembali Ke IPSAH
Pada 31 Mei 2009 di kala semua warga sekolah sedang menikmati keindahan percutian, saya akan bergelut semula dengan nota-nota kuliah dan kerja kursus di Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah. Saya dijadualkan menaiki bas dari Bandar Baru Batang Kali pada 30 Mei jam 3.00 petang. Malangnya kerana rosak, bas lewat sehingga 2 jam. Suami saya serta dua orang putri saya turut menemani saya menunggu bas.
Subscribe to:
Posts (Atom)