Monday, September 15, 2008

NOSTALGIA AIDILFITRI

Pada bulan puasa begini, kami berbelanja paling sederhana sekali. Bertepatan dengan pesanan pemimpin negara agar kita mengamalkan sikap berhemat dalam perbelanjaan sehari-hari. Setakat ini apabila habis berbuka dan bersahur, makanan yang dihidang tidak berbaki banyak. Selalunya habis.

Ketika orang lain sibuk bershopping untuk raya, kami belum merancang apa-apa lagi. Alhamdulillah anak-anak pun tidak pandai meminta itu dan ini. Selalunya apa yang dibelikan diterima tanpa banyak soal.

Rancangan hendak berhariraya di mana pun belum dirancang lagi. Saya dan adik-beradik selalunya berkumpul di kampung di Gopeng, Perak. Tapi nampaknya tahun ini adik-adik saya Huzir dan Huslin sekeluarga beraya di Kelantan. Selalunya kalau mereka balik barulah kami sekeluarga balik juga ke Gopeng. Tinggallah Husri, abang saya yang sulung beraya sorang-sorang kat kampung. Seorang lagi adik saya, Husni dan isteri tinggal di Serdang. Mungkin dia beraya di rumah mertuanya di Tampin. Lebih-lebih lagi isterinya sedang sarat mengandung.

Beginilah keadaan kami adik-beradik bila orangtua dah tiada. Masa arwah ayah masih ada, saya dan suami buat juga giliran untuk balik ke Gopeng. Tapi selepas ketiadaan arwah ayah beberapa tahun lalu, rumah pusaka itu nampak tidak meriah lagi dengan kunjungan kami adik-beradik. Tinggallah abang sulung saya yang setia menetap di rumah itu.

Sebenarnya hari ini genap 25 tahun ibu saya kembali ke rahmatullah. Walaupun telah 25 tahun, namun ingatan dan kenangan terhadap kedua ibubapa saya tidak pernah luntur. Sesekali saya bercerita pada anak-anak tentang pengalaman saya semasa kanak-kanak dahulu. Sudah tentunya tidak sama dengan zaman sekarang.

No comments: