Sunday, September 28, 2008

Persediaan Berhariraya

Semalam suami saya tidak keluar bekerja kerana hendak memeriksa kenderaan dan servis apa yang patut bagi persediaan pada hariraya nanti. Maklumlah masa hariraya nanti belum tentu ada bengkel yang buka. Sekarang ini untuk menukar minyak hitam tak perlu lagi pergi ke bengkel kerana dalam rumah dah ada yang boleh buat iaitu anak sulung saya Humaidi, yang kini dalam tingkatan empat. Sebenarnya dia belajar Menservis Automotif dalam matapelajaran vokasional di sekolah.

Setakat ini telah beberapa kali dia mempraktikkan apa yang dipelajari di bengkel sekolah kepada kenderaan kami, van atau teksi abahnya. Selalunya abahnya hanya memantau apa yang dilakukan. Kadangkala selepas buat kerja, ditinggalkan begitu sahaja tanpa dikemaskan semula. Begitulah selalunya. Harapan Ma dan Abah supaya Along akan menjadi contoh yang baik pada adik-adik. Rajin-rajinlah ke sekolah!

Saturday, September 27, 2008

Majlis Khatam Qur'an

Pagi tadi Amirul telah menyertai majlis khatam Qur'an di sekolah. Semoga Amirul rajin mengaji dan menjadi anak yang soleh.


Wednesday, September 24, 2008

Balik Dari Mesyuarat

Tengahari tadi saya balik dari menghadiri mesyuarat 3 hari di KL - Putra Hotel. Walaupun pertama kali menghadiri mesyuarat pada bulan puasa namun saya rasa lebih relek dan tidak terganggu langsung. Maklumlah, sejuknya aircon hotel menyebabkan tidak terasa langsung diri sedang berpuasa.

Saya bersama dengan rakan-rakan dari KL, Sarawak, Perak dan Selangor.

Sunday, September 21, 2008

Melawat Hazim di Asrama

Petang ini saya, suami serta 3 orang anak berkunjung ke Maahad At Taufikiyah Al Diniah di Behrang untuk melawat anak kedua saya, Hazim. Kali akhir kami melawat adalah dua minggu lepas. Kesian juga mengenangkan dia menjalani ibadah puasa di asrama bersama teman-teman. Tentunya tidak sama dengan rumah sendiri di mana apa yang diingini boleh saja diperolehi. Tapi sebenarnya pengalaman itu sangat mahal harganya dan akan menjadi satu kenangan manis. Semoga Hazim tetap sabar dan tabah menjalani hari-hari di asrama.

Saturday, September 20, 2008

Ujian Berpuasa

Selepas sahur semalam (Jumaat), badan Amirul tiba-tiba sahaja naik suhunya. Makan pun tidak berselera. Namun dia makan juga sedikit dan makan ubat demam. Ingatkan nak cutikan dia dari sekolah, tapi menjelang pukul 7.00 pagi dia dah pun bersiap untuk ke sekolah. Kepada guru kelasnya diberitahu supaya menyuruh dia balik sahaja jika badannya panas. Namun semangat nak ke sekolah masih kental dan Amirul meneruskan hingga sekolah tamat pukul 12.00 tengahari.

Petang itu, oleh kerana badan Amirul masih panas, saya dan suami membawanya ke Hospital Kuala Kubu Bharu. Walaupun belum 24 jam demam, darah diambil untuk pemeriksaan. Alhamdulillah cuma demam biasa.

Balik ke rumah, Amirul enggan berbuka dan makan ubat walaupun telah dipesan oleh doktor. Dia tetap menunggu hingga ke maghrib.

Ingatkan berakhir sudah satu ujian, rupanya hari ini ada lagi satu ujian. Fatimah pula demam! Sama seperti abangnya, semangat untuk meneruskan puasa masih kuat. Dia berjaya meneruskan puasa hingga ke maghrib, cuma kami terpaksa dengar dia merengek dan mengaduh sakit.

Masa baru masuk waktu maghrib, semasa sedang menyenduk nasi, tiba-tiba Halimi pula berjalan terhoyong-hayang. Rupanya dia dah nak pitam. Riuh sekejap. Tapi cepat je dia pulih.
Semoga kami sekeluarga sihat dalam meneruskan ibadah puasa di bulan yang mulia ini.

Tuesday, September 16, 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU


Ucapan tahniah diucapkan kepada anak buah sebelah suami saya iaitu Nizwan dan pasangannya Humairah kerana telah selamat melangsungkan pernikahan pada 30 Ogos 2008. Majlis kenduri sebelah perempuan akan diadakan pada 4 Oktober 2008 di Melaka manakala sebelah lelaki pula akan dilangsungkan pada 28 Disember nanti.
Juga tahniah kepada Kak Long dan Abang Zainal yang pertama kali menerima menantu. Bukan seorang, malah akan menerima dua orang menantu! Adik Nizwan, Nazrul akan turut menjejaki langkah abangnya untuk bergelar seorang suami. Semoga meriah dan bahagia dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga.

Monday, September 15, 2008

NOSTALGIA AIDILFITRI

Pada bulan puasa begini, kami berbelanja paling sederhana sekali. Bertepatan dengan pesanan pemimpin negara agar kita mengamalkan sikap berhemat dalam perbelanjaan sehari-hari. Setakat ini apabila habis berbuka dan bersahur, makanan yang dihidang tidak berbaki banyak. Selalunya habis.

Ketika orang lain sibuk bershopping untuk raya, kami belum merancang apa-apa lagi. Alhamdulillah anak-anak pun tidak pandai meminta itu dan ini. Selalunya apa yang dibelikan diterima tanpa banyak soal.

Rancangan hendak berhariraya di mana pun belum dirancang lagi. Saya dan adik-beradik selalunya berkumpul di kampung di Gopeng, Perak. Tapi nampaknya tahun ini adik-adik saya Huzir dan Huslin sekeluarga beraya di Kelantan. Selalunya kalau mereka balik barulah kami sekeluarga balik juga ke Gopeng. Tinggallah Husri, abang saya yang sulung beraya sorang-sorang kat kampung. Seorang lagi adik saya, Husni dan isteri tinggal di Serdang. Mungkin dia beraya di rumah mertuanya di Tampin. Lebih-lebih lagi isterinya sedang sarat mengandung.

Beginilah keadaan kami adik-beradik bila orangtua dah tiada. Masa arwah ayah masih ada, saya dan suami buat juga giliran untuk balik ke Gopeng. Tapi selepas ketiadaan arwah ayah beberapa tahun lalu, rumah pusaka itu nampak tidak meriah lagi dengan kunjungan kami adik-beradik. Tinggallah abang sulung saya yang setia menetap di rumah itu.

Sebenarnya hari ini genap 25 tahun ibu saya kembali ke rahmatullah. Walaupun telah 25 tahun, namun ingatan dan kenangan terhadap kedua ibubapa saya tidak pernah luntur. Sesekali saya bercerita pada anak-anak tentang pengalaman saya semasa kanak-kanak dahulu. Sudah tentunya tidak sama dengan zaman sekarang.

Thursday, September 11, 2008

CABARAN BULAN PUASA


Hari ini merupakan hari ke sebelas umat Islam berpuasa. Tahun lepas lima orang anak saya termasuk Fatimah yang ketika itu berumur enam tahun telah dapat berpuasa penuh. Tahun ini buat pertama kalinya anak bongsu saya Fatiha yang berumur 5 tahun berpuasa. Cabaran paling berat pada hari pertama sahaja di mana buat pertama kalinya Fatiha mengenal erti kelaparan dan kehausan.Waktu itu saya memainkan peranan untuk memujuknya. Alhamdulillah dia akur dan bersabar sehingga waktu berbuka. Pada hari kedua dan seterusnya Fatiha telah pun terbiasa dengan keadaan berpuasa. Langsung tidak mengeluh kelaparan dan kepenatan. Malah aktif dan cergas seperti biasa. Cuma ada satu hari sahaja dia tidak dapat berpuasa kerana sakit perut.

Saya pernah bertanya pada Fatiha, "macam mana Teha boleh kuat puasa macam ni? Teha ada power ke?"

Fatiha mengangguk dan berkata, "Power dari Allah!"

Wednesday, September 10, 2008

PEPERIKSAAN UPSR


Hari ini merupakan hari kedua peperiksaan UPSR dijalankan. Anak ketiga saya Muhammad Halimi merupakan salah seorang calon UPSR di SK Kg Kuantan. Manakala saya sendiri menjadi pengawas peperiksaan di SK Ulu Yam Bharu. Semoga Halimi akan mendapat keputusan yang membanggakan keluarga dan sekolah.

SALAM PERKENALAN

Salam perkenalan saya hulurkan kepada semua yang sudi melayari blog saya. Sesungguhnya masih banyak yang perlu saya pelajari dalam bidang ini. Juga tidak lupa saya ucapkan "Selamat Berpuasa" kepada semua umat Islam.