Balik dari mesyuarat Guru Cemerlang, saya rasa macam nak demam. Saya tahu saya kena sihatkan diri sebab hari Ahad nanti saya kena bersedia dengan Mesyuarat Agung PIBG di mana saya menjadi Setiausaha. Selain itu, saya juga memangku sementara tugas Bendahari PIBG yang telah bertukar sekolah. Saya telan ubat demam, saya mandi beberapa kali untuk menyejukkan badan. Dan usaha terakhir saya tuam badan saya dengan ais. Tapi sehingga petang Sabtu masih lagi demam.
Bagaimanapun sebab telah berjanji untuk melawat Hazim dan Halimi di Behrang, saya ikut juga sambil membawa sebungkus ketul-ketul ais yang saya bungkus dalam tuala. Sepanjang perjalanan saya tuam ais tersebut pada kepala dan tubuh saya untuk mengurangkan panas.
Berjumpa dengan Hazim dan Halimi, terubat rasa rindu. Waktu balik, buat pertama kali dalam bertahun-tahun yang saya ingat, saya cium pipi Halimi. Saya peluk dia. Menitis airmata saya bila dia tidak menolak. Anak saya yang seorang itu memang dari dulu tidak suka disentuh dan dipeluk, apalagi dicium.
Sampai di rumah, tiba-tiba saya rasa telah sihat seperti sediakala. Mungkinkah ciuman dan pelukan tadi ubat mujarab yang telah menyembuhkan saya?
No comments:
Post a Comment